KAWAN@2

KAWAN@2

Wednesday, May 18, 2011

Tidak HINA bagi orang yang bersikap merendah diri


Sombong, bongkak, angkuh dan takabur atau kibir mempunyai pengertian yang sama.  Iaitu salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat tercela/terkeji).  Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, akan menjadi penghalang kepada syurga.  Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau seberat zarah dari perasaan takabur atau sombong.”
Firman Allah di dalam surah al-ghafir, ayat 60:
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ. إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hambaKu, mereka akan masuk Jahanam sebagai makhluk yang hina dina.”
Sifat sombong atau takabur ini boleh di bagikan kepada dua, iaitu, takabur zahir dan takabur batin. Takabur zahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakannya.  Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah dari segi pangkat, kealiman, darjat atau keturunan daripadanya.
Adakalanya sifat ini dapat dilihat melalui perbicaraan, seperti tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar dan mengikut nasihat. Imam Al-Ghazali berkata ;
“Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia  menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar.”
Takabur batin pula ialah membesarkan diri di dalam hati.  Inilah maksiat di dalam hati yang dicela.  Dengan adanya rasa angkuh di dalam hati maka lahirlah kata-kata membangga diri.
Takabur terbahagi kepada tiga:  Takabur terhadap Tuhan, Takabur terhadap RasulNya dan takabur sesama manusia.  Takabur kepada Tuhan ialah tidak memperdulikan ancamanNya dan memandang remeh segala syariat dan peraturanNya.  Takabur kepada Rasulullah ialah enggan mengikuti petunjuknya.  Takabur sesama manusia pula ialah merasakan diri mempunyai kelebihan berbanding orang lain dari segi pangkat, darjat atau keturunan, merasakan dirinya sentiasa benar dan memandang rendah kepada orang lain serta sukar menerima nasihat atau teguran.
Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabur atau sombong ini:
  1. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita.  Kerana kanak-kanak itu belum diberati dengan dosa, sedangkan kita hampir setiap langkah berbuat dosa.
  2. Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.
  3. Ketika kita berjumpa dengan orang alim,  anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.
  4. Jika kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.
  5. Jika kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah anggap atau merasa diri mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya.  Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.
  6. Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.
Oleh itu marilah kita cuba melawan sifat sombong ini dengan  bersifat tawadhuk atau merendah diri.  Sekiranya kita telah berjaya mengikis sifat sombong maka akan lahirlah sifat tawadhuk dalam diri kita, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya.

No comments:

Post a Comment